Home » Artikel & Tazkirah » JOM…tambah ilmu : 2 kemusykilan popular tentang IBADAH KORBAN

JOM…tambah ilmu : 2 kemusykilan popular tentang IBADAH KORBAN

mk1

Soalan SATU:
Bolehkah memberikan upah berupa daging korban kepada penyembelih dan juga pelapah daging?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Terdapat sebuah hadith yang sahih berkenaan persoalan di atas yang mana menunjukkan terdapat larangan untuk diberikan upah kepada penyembelih daripada bahagian daging korban itu. Ianya hadith yang telah diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib RA iaitu:

أَمَرَنِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَقُومَ عَلَى الْبُدْنِ، وَلاَ أُعْطِيَ عَلَيْهَا شَيْئًا فِي جِزَارَتِهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengarahkan aku untuk melakukan sembelihan terhadap unta dan mengarahkan juga kepadaku agar tidak memberi daging daripadanya sebagai upah kepada penyembelih dan juga pelapahnya.
Riwayat Al-Bukhari (1716) & Muslim (1317)

Manakala di dalam riwayat Muslim terdapat tambahan daripada ‘Ali bin Abi Talib RA yang mengatakan: “Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.

Berkenaan hadith di atas, al-Imam al-Son’ani Rahimahullah di dalam kitabnya Subul al-Salam ada memberikan komentar terhadapnya dengan mengatakan:

“Hadith ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binatang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan sebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama seperti hukum sembelihan haji di mana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya.”
[Lihat Subul al-Salam. Dar al-Hadith, 2/537]

Seterusnya, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah juga ada menyebutkan di dalam kitabnya al-Minhaj iaitu syarah kepada hadith-hadith di dalam Sahih Muslim dengan mengatakan:

“Tidak dibenarkan untuk memberikan sesuatu daripada bahagian korban kepada al-Jazzar (tukang sembelih) dan inilah mazhab kami dan dengannya juga adalah pendapat ‘Atho, al-Nakha’ie, Malik, Ahmad, Ishak dan dihikayatkan daripada Ibn al-Munzir daripada Ibn Umar daripada Ahmad dan Ishak bahawa dibolehkan untuk menjual kulit sembelihan hadyu dan bersedekah dengan harganya”.
[Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 9/65]

Pendapat yang sama juga diulangi oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu Syarh al-Muhazzab.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas dengan melihat kepada dalil dan juga pendapat para ulama’ mengenainya, maka kami katakan di sini bahawa tidak dibolehkan untuk memberikan upah berupa bahagian korban kepada tukang sembelih.

Adapun penyelesaian yang boleh difikirkan untuk diberikan kepada penyembelih adalah berdasarkan perkataan ‘Ali bin Talib RA sepertimana di dalam riwayat Muslim iaitu upah diberikan kepada penyembelih menggunakan harta dari empunya korban/organisasi dan bukannya dari bahagian korban.

Pihak masjid juga boleh menetapkan harga korban termasuk kos pengurusan yang munasabah kepada mereka yang menyertai ibadah korban di sesuatu tempat dan kos pengurusan itu boleh diperuntukkan sebahagiannya kepada tukang sembelih kerana menggunakan kepakarannya dalam urusan tersebut. Begitu juga kos-kos yang perlu ditanggung oleh penyembelih seperti kos pengangkutan dan masa yang telah diperuntukkan.

Adapun daging, maka ianya tidak boleh dijadikan upah buat tukang sembelih. Tetapi, sekiranya tukang sembelih itu sendiri termasuk dari kalangan fakir miskin maka pemberian daging korban kepadanya dibolehkan atas dasar dirinya sebagai seorang fakir miskin di samping upah menyembelih yang diberikan bukan dari bahagian korban. Wallahu a’lam.

 
Soalan DUA:

Bolehkah masjid-masjid menerima lembu-lembu untuk dikorbankan dari bukan Islam? Selalunya adalah dari hasil sumbangan ahli politik dan juga ahli perniagaan bukan Islam.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Bagi menjawab persoalan di atas, terdapat beberapa situasi yang perlu dijelaskan:

Pertamanya, sekiranya pemberian tersebut adalah untuk melakukan korban bagi bukan Islam, maka hukumnya tidak sah korban tersebut kerana mereka yang bukan Islam tidak disyariatkan dan tidak mempunyai ahliah untuk melakukan ibadah korban.

Adapun yang keduanya, iaitu berbalik kepada persoalan di atas, jika pemberian lembu dari bukan Islam, maka ianya termasuk di dalam hukum hibah (pemberian hadiah) dan Islam tidak melarang seorang muslim itu menerima hadiah daripada bukan muslim bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada golongan bukan Islam. Ini seperti yang terdapat di dalam sebuah hadith al-Bukhari[1] yang mana Rasulullah SAW ada menerima jubbah yang dihadiahkan oleh Ukaidir (seorang Nasrani) dari Dauma.

Makanya kita katakan di sini bahawa hukum menerima lembu korban hasil sumbangan daripada bukan Islam adalah harus dan dibolehkan. Lembu yang disumbangkan itu mestilah diuruskan seperti berikut:

Haiwan korban tersebut hendaklah diserahkan kepada jawatankuasa masjid/surau untuk diuruskan.

Pihak jawatankuasa yang dilantik perlu memilih asnaf fakir miskin atau individu bagi mewakili bahagian korban yang diwakili.

Asnaf fakir miskin atau individu yang terpilih disunatkan mengambil daging korban tidak melebihi 1/3 daripada bahagian korban yang disertai.

Sekiranya perlu, pihak jawatankuasa masjid/surau boleh mengenakan kos pengurusan dengan kadar yang berpatutan kepada peserta ibadah korban yang terpilih.

Ini sepertimana yang tertulis di dalam buku Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban, Bilangan 2 bagi tahun 2013 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada halaman 27.

Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
29 Ogos 2016 bersamaan 26 Zulkaedah 1437H