Home » Artikel & Tazkirah » ADAB BERHARI RAYA

ADAB BERHARI RAYA

BAYAN LINNAS: ADAB BERHARI RAYA DAN KESILAPANNYA
Mukaddimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pertamanya, kami ingin mengucapkan selamat Berhari Raya, dan semoga Allah menatijahkan kita dengan taqwa dan seterusnya kita dapat menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat hidayah yang Allah kurniakan kepada kita sehingga ketika nafas kita masih lagi diberi peluang untuk hidup.
Bersempena dengan hari raya ini, kami kemukakan Bayan Linnas yang bertajuk Adab Berhari Raya dan Kesilapan untuk sama-sama memimpin dan memandu perjalanan kita agar sentiasa diberkati dan diredhai Allah sekalipun dalam masa kita seronok dan bergembira dengan hari raya.
Adab Hari Raya
Antara adab-adab pada hari raya ialah:
• Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain. Said bin al-Musayyib berkata: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”
• Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
• Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidilfitri, manakala Aidiladha pula tidak disunatkan makan dan minum sehingga selesai solat.
• Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada jabir R.A, katanya:
Maksudnya: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.”
Riwayat al-Bukhari (943)

• Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Hal ini berdasarkan hadis Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda: (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu Baginda menjawab: Ya, (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu).
• Selepas matahari terbit, makruh bagi imam bersolat sunat sebelum solat hari raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri, lalu Baginda bersolat hari raya sebanyak dua rakaat dan tidak melakukan solat yang lain sama ada sebelum atau selepasnya.”
Riwayat al-Bukhari (945)
Kesilapan Adab Pada Hari Raya
Kami sengaja menyebut beberapa kesilapan adab yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW ketika kita rancak menyambut hari raya. Antara adab tersebut ialah:
• Tidak melakukan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat solat, sebaliknya hanya berada di rumah.
• Banyak menonton rancangan televisyen sehingga tiada dalam kamusnya untuk menziarahi sanak saudara. Hal ini semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.
• Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.
• Memasang lagu-lagu dan nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya jika digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.
• Pergi beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh masa yang amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah.
• Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.
• Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.
• Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau berkumpul setempat sehingga timbul perasaan kurang selesa pada golongan yang beragama.
• Pergi beraya di rumah seseorang sehingga lupa untuk menunaikan solat fardu dan melambatkan solat pada waktunya.
• Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah bangsawan dan hartawan.
• Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.
• Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.
• Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takbur, riak dan sombong.
• Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.
• Terlupa untuk menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan sebaliknya kita menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang sihat.
Bergembira Pada Hari Raya

Menjadi kelaziman seluruh dunia umat Islam akan bergembira dengan kedatangan Aidilfitri setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan wajib dan sunat.
Persoalannya di sini, apakah hukum bergembira dan cara yang sepatutnya dilakukan?
Ulama telah membahaskan dengan panjang lebar berkenaan dengan hiburan dan permainan yang diharuskan oleh syarak. Bermain dan berhibur dengan hiburan yang disyarakkan adalah diharuskan bahkan digalakkan khasnya pada hari raya.
Secara umumnya, selagi mana sesuatu permainan itu tidak melalaikan dari kewajipan tugas yang perlu dilaksanakan ianya diharuskan. Ini adalah syarat umum yang mesti dipatuhi ketika bermain sesuatu permainan atau berhibur.
Syarat yang lain, permainan itu hendaklah tidak menjurus kepada maksiat atau bercampur aduk dengan perkara mungkar seperti minum arak, perjudian, percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan bermain sehingga berlaku perkelahian dan pergaduhan.
Jikalau permainan atau hiburan itu tidak menepati syarat-syarat yang dikemukakan, maka hukumnya menjadi haram walaupun asal permainan atau hiburan tersebut hukumnya harus. Pada zaman Nabi SAW, masyarakat pada ketika itu bermain, memukul gendang, menyanyi serta menyambut sesuatu perayaan.
Saidatina Aisyah R.Anha menyatakan:
“Orang Habsyah bermain di sisi Nabi SAW ketika hari raya. Maka aku pun muncul dari atas bahunya dan melihat mereka sedang bermain sehingga aku merasa puas dan kemudian beredar (dari situ).”
Riwayat Ahmad
Dalam riwayat yang lain Saidatina Aisyah R.Anha berkata: “Abu Bakar telah masuk kepada kami pada hari raya dan ketika itu kami bersama dengan dua orang hamba perempuan yang menyebut tentang hari Bu’ath iaitu hari berlakunya peperangan antara kaum Aus dan Khazraj.”
Lantas Abu Bakar berkata: “Wahai hamba Allah! Mengapakah ada Mizmar Syaitan ini (iaitu alat muzik yang menyerupai seruling)”. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.
Kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum ada hari raya masing-masing dan hari ini hari raya kita.”
Riwayat Ibn Hibban
Dalam riwayat al-Bukhari juga ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW masuk kepada kami dan berbaring dengan memalingkan wajahnya, sedangkan di sana ada dua orang hamba perempuan sedang menyanyi sempena hari Bu’ath. Maka ketika itu Abu Bakar masuk dan berkata: “Mengapakah ada mizmar syaitan di sisi Rasulullah?”
Sabda Nabi SAW: “Tinggalkanlah (biarkan) mereka wahai Abu Bakar.”
Pada suatu ketika orang Sudan sedang bermain-main dan Rasulullah SAW berkata kepada Aisyah: “Kamu ingin tengok?”
Aku (Aisyah) berkata: “Ya.”
Lalu Baginda mengangkatku ke belakangnya dengan pipiku bersentuh dengan pipinya, sehinggalah Baginda bersabda: “Sudah cukup.”
Maka Aku berkata: “Ya.”
Sabda Nabi SAW: “(Kalau begitu) Beredarlah.”
Pada hari raya itu, Rasulullah SAW bersabda: “Ini supaya golongan Yahudi mengetahui bahawa agama kita ada kelulusan (keringanan)dan sesungguhnya aku diutuskan dengan penuh toleransi dan keringanan.”
Riwayat al-Bukhari
Oleh itu, marilah kita menyambut hari raya Aidilfitri dengan mematuhi adab-adab yang diperintahkan oleh Islam. Janganlah di hari raya dipenuhi dengan pembaziran dan hiburan yang melampau. Sebenarnya sebarang hiburan adalah dibolehkan tetapi mestilah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Islam.
Ibn Rajab al-Hanbali menyebut di dalam kitabnya Lataif al-Minan: “Bukanlah hari raya itu kamu (hanya) memakai baju baru tetapi hari raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah.”