Home » Artikel & Tazkirah » JOM TAMBAH ILMU ….SOAL JAWAB KORBAN

JOM TAMBAH ILMU ….SOAL JAWAB KORBAN

EDISI HAJI & KORBAN

SIRI 1: HUKUM MELAKUKAN KORBAN BUAT SI MATI

Soalan:

Bolehkah sekiranya saya ingin melakukan korban buat orang yang telah meninggal dunia?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Permasalahan mengenai korban buat si mati adalah permasalahan yang diperselisihkan oleh para fuqaha’. Di dalam permasalahan ini, terdapat beberapa pendapat, antaranya:

  • Pertama: Dibolehkan untuk melakukan korban buat si mati dan sampai pahalanya juga buat si mati. Ini adalah pendapat jumhur ahli ilmu yang merangkumi al-Hanafiyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan sebahagian al-Syafi’ieyyah.

 

Ini berdasarkan sebuah hadith dari ‘Aisyah R.Anha yang mana meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika menyembelih menyebutkan:

 

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

 

Maksudnya: Bismillah, Wahai tuhan kami, terimalah daripada Muhammad dan daripada aali (keluarga) Muhammad dan daripada umat Muhammad.

 

Riwayat Muslim (1967) dan selainnya.

 

Umum mengetahui bahawa dikalangan umat Muhammad SAW itu ada yang telah meninggal dunia dan Baginda SAW menjadikan sembelihannya itu untuk umatnya dan ini menjadi dalil bagi keharusan untuk melakukan korban bagi orang yang telah meninggal dunia.

Al-Kasani Rahimahullah menyebutkan: “dari sudut istihsannya bahawa kematian bukanlah penghalang untuk taqarrub. Dalilnya adalah dibenarkan untuk bersedekah buat si mati dan juga menunaikan haji buatnya dan telah sahih daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW telah melakukan sembelihan korban dengan dua ekor kibasy yang mana satunya untuk Baginda SAW dan baki satunya untuk umat Muhammad yang tidak melakukan korban dan sesungguhnya ada dikalangan umat Muhammad SAW itu yang telah mati dan tidak sempat melakukan korban maka ini menunjukkan bahawa orang yang telah mati boleh bertaqarrub dengannya (melalui ibadah korban)..” [Lihat Bada’i al-Sana’i, 5/72]

Seterusnya Ibn ‘Abidin Rahimahullah menyebutkan: “Siapa yang melakukan korban bagi si mati maka lakukanlah sepertimana dia melakukan korban buat dirinya sendiri daripada sedekah dan makan. Adapun pahala untuk si mati dan pemilikan untuk si penyembelih”. [Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/326]

Daripada Hanabilah pula menyebutkan: “Sembelihan korban buat si mati adalah afdhal daripada yang hidup kerana yang mati itu memerlukan kepada ganjaran pahala dan lakukan (sembelihan) sepertimana untuk yang hidup dari segi makan, sedekad dan hadiah”. [Lihat Matalib Uli al-Nuha, 2/472]

 

  • Kedua: Makruh hukumnya melakukan korban buat si mati. Ini adalah pendapat al-Malikiyyah. Al-Kharshi Rahimahullah menyebutkan: “Dimakruhkan bagi seseorang melakukan korban buat si mati kerana takut akan riak dan bermegah-megah dan juga tidak warid perbuatan dalam perkara itu, dan ini sekiranya tidak disediakan oleh si mati dan sekiranya tidak maka si waris boleh melakukannya”. [Lihat Syarh Mukhtasar al-Khalil, 3/42]

 

  • Ketiga: Tidak boleh melakukan korban buat si mati melainkan ianya telah diwasiatkan oleh si mati sebelum kematiannya. Ini adalah pendapat al-Syafi’ieyyah yang mana al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan: “Dan tidaklah disembelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ianya telah diwasiatkan.” [Lihat Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Dar al-Fikr, hlm. 321]

 

Kesimpulan

Walaupun permasalahan ini menjadi khilaf dikalangan ulama, kami cenderung dengan pendapat yang ketiga iaitu pendapat kebanyakan Syafi’eyyah iaitu mesti adanya wasiat dari si mati untuk melakukan korban buat dirinya.

Namun, kami juga tidak menafikan pendapat sebahagian Syafi’eyyah yang berpendapat bahawa tidak memerlukan kepada wasiat. Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili Hafizahullah yang mana menyebutkan: “(dan dikatakan) sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya”. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, 2/490]

Justeru, kami berharap agar permasalahan ini dapat difahami dengan baik serta mengikuti neraca syariah dan fiqhnya. Wallahu a’lam.

 

 SIRI 2: HUKUM BERKONGSI KORBAN DAN AQIQAH PADA SEMBELIHAN LEMBU/UNTA YANG SAMA

Soalan:

Bolehkah sekiranya seekor lembu korban itu diniatkan 5 bahagian untuk korban manakala 2 bahagian lagi untuk aqiqah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, suka untuk kami menjelaskan bahawa bagi seekor lembu ataupun unta, ianya boleh dikongsikan kep/ada 7 bahagian. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Jabir bin Abdullah RA yang mana menyebutkan:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya: Kami telah melakukan korban bersama-sama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah dengan unta yang dikongsi dengan 7 bahagian dan lembu yang dikongsi dengan 7 bahagian.

Riwayat Muslim (1318), Abu Daud (2809) & Al-Tirmizi (1502)

 

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim mengatakan bahawa hadith di atas menjadi dalil kebolehan untuk isytirak (berkongsi) seekor unta atau lembu untuk tujuh bahagian (yang setiap satunya mewakili seekor kambing).[1]

 

Meskipun terdapat nas yang menunjukkan bahawa bolehnya melakukan perkongsian pada haiwan korban (unta dan lembu) pada satu ibadat korban yang sama,  namun terdapat khilaf dikalangan ulama’ dalam isu isytirak ini iaitu, adakah dibolehkan untuk berkongsi niat untuk korban dan juga aqiqah bagi setiap bahagian pada haiwan korban yang sama?

  • Pendapat al-Syafi’eyyah membenarkannya. Ini sepertimana pendapat Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah yang mana menyebutkan bahawa:

 

أَمَّا لَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَسْبَابٍ مِنْهَا ضَحِيَّةٌ وَعَقِيقَةٌ وَالْبَاقِي كَفَّارَاتٌ فِي نَحْوِ الْحَلْقِ فِي النُّسُكِ فَيُجْزِي ذَلِكَ

Maksudnya: “Sekiranya disembelih unta atau lembu untuk 7 bahagian bagi sebab-sebab darinya untuk korban dan aqiqah manakala bakinya untuk kaffarat bagi bercukur ketika  ibadah haji makan sah hukumnya..”

 

[Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. Al-Maktabah al-Islamiyyah, 4/256]

 

  • Pendapat al-Hanafiah juga membenarkannya. Ini sepertimana di sebutkan oleh Ibn ‘Abidin al-Hanafi Rahimahullah di dalam Hasyiahnya iaitu dibenarkan untuk berlakunya perkongsian bagi korban dan aqiqah. Ini kerana korban dan juga aqiqah adalah amalan yang keduanya mendekatkan diri kepada Allah SWT (al-qurbah).
[Lihat Rad al-Muhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar. Dar al-Fikr, 6/326]

 

  • Adapun yang masyhur dikalangan al-Malikiyyah dan juga al-Hanabilah adalah tidak dibenarkan iaitu menurut mereka ianya tidak sah. Ini kerana pada pendapat mereka, untuk korban dan juga aqiqah itu adalah dua sembelihan yang berbeza tujuannya maka ianya tidak boleh disatukan seperti mana dam al-Tamattu’ dan juga dam al-Fidyah.
[Lihat Fatawa Yas’alunak oleh Prof. Dr. Husamuddin ‘Afanah. Maktabah Dandis, 4/350]

 

Kesimpulan

Mengetahui bahawa isu ini terdapat khilaf padanya, maka padanya terdapat keluasan dalam beramal dengannya. Kami berpendapat bahawa boleh untuk disekalikan niat korban dan aqiqah pada bahagian lembu dan juga unta seperti mana yang dinaskan oleh pendapat dari kalangan al-Syafi’ieyyah dan juga al-Hanafiah.

Kami juga melihat kepada kemampuan seseorang itu untuk melakukan korban dan juga aqiqah. Sekiranya seseorang itu mampu, maka yang terbaiknya adalah dengan mengasingkan setiap satu daripada ibadah tersebut tanpa berlakunya perkongsian (korban dan aqiqah disekalikan) dan itu bagi kami adalah yang terbaik untuk keluar daripada khilaf. Wallahu a’lam.

 

 SIRI 3: HUKUM MEMBERI MAKAN DAGING KORBAN KEPADA NON-MUSLIM

Soalan: Apakah hukum memberi makan orang yang bukan Islam daripada daging korban?

Jawapan: Allah SWT berfirman:

فَكُلُواْ مِنۡهَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡقَانِعَ وَٱلۡمُعۡتَرَّۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرۡنَٰهَا لَكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

Maksudnya: Maka makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. 

(Surah Al-Hajj: 36)

 

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahulah di dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al-‘Azim (5/428) menyebutkan bahawa mengenai ayat di atas, sebahagian salaf  mengatakan diharuskan untuk memakan sebahagian daripada hasil korban tersebut. Al-Imam Malik Rahimahullah mengatakan sunat untuk di makan hasil korban tersebut dan ada juga pendapat yang mewajibkannya sepertimana pendapat sebahagian al-Syafi’eyyah.

 

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’ bahawa al-Imam Ibn Munzir Rahimahullah telah mengatakan bahawa telah ijma’ iaitu dibolehkan untuk memberikan makan kepada fakir miskin dari kalangan umat Islam dari hasil korban manakala yang menjadi khilafnya adalah memberikan hasil korban kepada fakir miskin dari kalangan ahli al-zimmah.

 

Oleh itu, kami nyatakan di sini pendapat-pendapat yang berkaitan dengan permasalahan ini yang mana ada disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (8/425) dan begitu juga Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Mughni (9/450):

  • Al-Imam Abu Hanifah Rahimahullah memberikan rukhsah (keringanan) bagi kafir zimmi yang fakir untuk diberikan kepada mereka daging korban. Ini juga adalah pendapat al-Hasan al-Basri Rahimahullah dan juga Abu Thaur Rahimahullah.
  • Mazhab Maliki berpendapat hukumnya makruh seperti memberi makan kepada Yahudi atau Nasrani.
  • Mazhab Hanbali berpendapat hukumnya harus dihadiahkan kepada orang kafir daripada daging korban yang sunat. Adapun yang wajib tidak diharuskan.
  • Dalam mazhab Syafi’e, yang masyhur tidak dibolehkan kerana korban adalah ketaatan unuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 

Kami berpendapat bahawa di dalam isu ini hendaklah dilihat dari sudut maslahah dan juga siyasah syar’iyyah supaya ia lebih harmoni dalam masyarakat di samping menjadi senjata dakwah yang paling ampuh kepada masyarakat yang bukan Islam. Kami katakan di sini:

 

  1. Sekiranya di dalam komuniti masyarakat Islam di sesuatu tempat terdapat jiran-jiran mereka yang bukan Islam dan mereka itu dikenali dengan sifat baik serta ramahnya dengan masyarakat setempat, jika terdapat lebihan dari hasil korban maka dibolehkan untuk diberikan kepada mereka.

 

  1. Namun jika hasil korban itu hanya mencukupi untuk orang Islam, maka dahulukanlah umat Islam setempat yang lebih memerlukan. Wallahu a’lam.

 

Ini kerana terdapat dalil dari Al-Quran agar berbuat baik kepada orang bukan Islam yang mana Allah SWT telah berfirman:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. 

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

 

Memberikan daging korban kepada orang bukan Islam juga adalah termasuk di dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh Allah SWT.

 

Selain itu, terdapat juga hadith yang mengisyaratkan agar berbuat baik kepada jiran meskipun mereka bukan dari kalangan orang Islam. Ianya adalah sebuah hadith daripada Abdullah bin ‘Amr al-‘As R.Anhuma yang mana telah menyembelih seekor kambing buat ahli keluarganya lalu beliau berkata: Adakah kamu telah menghadiahkan (daging tersebut) kepada jiran kita Yahudi? (beliau menanyakannya sebanyak dua kali) kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُه

Maksudnya: “Sentiasalah Jibril AS mewasiatkan kepadaku (berbuat baik) kepada jiran (dengan baik dan sopan) sehingga aku menyangka bahawa Jibril AS mengarahkan daripada Allah SWT agar menjadikan mereka sebagai pewaris.”

Riwayat Abu Daud (5152) & Al-Tirmizi (1943)

 

Semoga dengan pencerahan ini dapat menambahkan kefahaman kita dalam beragama serta membantu diri kita membuat dengan mengetahuihukum-hakam yang berkaitan bersempena bulan haji yang bakal tiba kerana didalamnya juga terdapat syariat sembelihan. Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

8 Ogos 2016 bersamaan 5 Zulkaedah 1437H.